Setiap orang yang mengerjakan puasa perlu
mematuhi beberapa peraturan dan adab yang boleh menyempurnakan ibadah
tersebut. Antara yang terpenting adalah:
1. Menjaga lidah daripada berdusta, mengumpat dan mencampuri urusan orang lain yang tiada kena-mengena dengannya;
2. Memelihara mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang dilarang oleh syarak dan yang sia-sia;
3.
Mengawal perut daripada merasai makanan dan minuman yang haram atau
yang mengandungi unsur syubhat terutama ketika berbuka dan berusaha
sedaya mungkin untuk menghasilkan pemakanan yang halal lagi bersih.
Ulama
silam pernah berpesan: “Apabila kamu berpuasa maka perhatikanlah apa
yang akan dijadikan makanan berbukamu dan di manakah kamu akan berbuka?”
Ia adalah panduan yang terbaik bagi mengawasi diri daripada terjebak
dengan unsur-unsur makanan yang tidak halal;
4. Berusaha menjaga
kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau
melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah
puasanya akan suci dan sempurna. Terdapat ramai yang memenatkan diri
dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada
perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan
keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah
s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya
melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)
Meninggalkan
maksiat menjadi kewajipan kepada seluruh orang Islam sama ada mereka
sedang berpuasa atau tidak. Apatah lagi bagi yang berpuasa, ia lebih
dituntut dan diwajibkan. Sabda Rasulullah, Puasa itu adalah ‘perisai',
sekiranya seseorang daripada kalangan kamu sedang berpuasa janganlah dia
bercakap kotor, melakukan keburukan dan berbuat cerdik sungguh.. Jika
ada orang lain yang mengejinya atau cuba memeranginya maka hendaklah dia
katakan kepada orang itu: “Saya sedang berpuasa.” (Riwayat Bukhari dan
Muslim);
5. Jangan membanyakkan tidur pada siang harinya dan
makan pada malamnya, bahkan bersederhanalah pada kedua-duanya bagi
menyelami kejerihan lapar dan dahaga. Dengan demikian sanubarinya
terkawal, keinginan nafsunya kurang dan hatinya ceria. Itulah rahsia dan
intipati puasa yang perlu dicapai;
6. Jauhkan diri daripada
mengikut dorongan nafsu ketika berbuka dengan beraneka jenis makanan
yang lazat-lazat. Sebaik-baiknya adat makannya sama sahaja pada bulan
puasa dan bulan-bulan yang lain. Penggemblengan diri dalam mengurangkan
tuntutan jasmani dan keinginan perasaan memberikan kesan yang positif
terhadap kecerahan hati nurani yang amat dituntut terutama pada bulan
Ramadan.
Mereka yang menjadikan keinginan nafsu perut sebagai
tunggangan akal ketika berbuka yang menyalahi kebiasaan pada bulan-bulan
lain sebenarnya terpedaya dengan pujukan iblis. Rayuannya bertujuan
menghilangkan barakah (berkat) ibadah puasa mereka, nikmat limpahan
ketenangan daripada Allah s.w.t., kekhusyukan diri ketika bermunajat dan
berzikir kepada-Nya.
Kenyang
Sepatutnya orang yang
berpuasa mengurangkan kadar pemakanannya sehingga terserlah kesan puasa
itu kepada dirinya. Kekenyangan adalah punca kelalaian, kealpaan, keras
hati dan malas untuk taat kepada Allah s.w.t..
Sabdanya: Takungan
jelek yang dipenuhkan oleh manusia adalah kantong perutnya, memadailah
baginya beberapa suapan yang dapat meneguhkan tulang belakangnya. Jika
dia enggan maka berikanlah sepertiga (bahagian perutnya) untuk makanan,
sepertiga kedua untuk minuman dan sepertiga terakhir bagi pernafasannya.
(Riwayat Ahmad dan at-Tarmizi)
Terdapat ulama yang mengungkapkan
kata-kata berikut: “Sekiranya perutmu kenyang anggota-anggota lain akan
lapar (akan menurut turutan nafsu) tetapi sekiranya perutmu lapar
kesemua anggotamu akan kenyang.”
As-Salaf as-Soleh (mereka yang
terdahulu) mengurangkan perkara kebiasaan dan dorongan diri serta
memperbanyakkan amal ibadat pada bulan Ramadan secara khusus bahkan
itulah adat mereka sepanjang masa;
7. Tidak menyibukkan diri
dengan urusan duniawi pada bulan Ramadan, bahkan mengambil kesempatan
bagi beribadat kepada Allah dan mengingati-Nya sebaik mungkin. Justeru,
dia tidak melakukan perkara duniawi melainkan sekadar keperluan
hariannya atau kepada mereka yang berada di bawah tanggungannya.
Demikian yang selayaknya dilakukan pada bulan Ramadhan yang mulia ini
sama seperti pada hari Jumaat yang sepatutnya dikhususkan bagi amalan
akhirat;
8. Mempraktikkan amalan sunah seperti segera berbuka
apabila masuk waktunya, berbuka dengan buah tamar (kurma) dan jika ia
tiada memadailah dengan segelas air serta melambatkan makan sahur.
Nabi
s.a.w. berbuka dahulu sebelum Baginda mengerjakan solat Maghrib. Sabda
baginda: Umatku sentiasa berada dalam keadaan baik (berkat) selama mana
mereka mempercepatkan berbuka (apabila masuk waktunya) dan melambatkan
makan sahur. (Riwayat Bukhari dan Muslim);
9. Menyediakan makanan
berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar
atau segelas air. Sabda baginda s.a.w.: Sesiapa yang menyediakan
makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama
pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang
yang berpuasa). (Riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Khuzaimah)
10. Memenuhi malamnya dengan amalan sunat seperti solat terawih, witir dan sebagainya.
Adalah
dinasihatkan kepada para imam supaya tidak mempercepatkan solat
terawihnya seperti mana amalan kebiasaan di masjid dan surau.
Perbuatan
tersebut menjejaskan mutu ibadat solat tersebut kerana meninggalkan
‘wajib-wajib' solat seperti meninggalkan tomakninah semasa rukuk dan
sujud, mencacatkan bacaan al-Fatihah sebagaimana sepatutnya lantaran
ingin kecepatan dalam mengejar waktu sehingga menyebabkan makmum di
belakang tertinggal rukun-rukun penting dalam solatnya. Amalan terawih
seperti itu adalah tidak sempurna dan berkurangan pahalanya.
Oleh
itu berwaspadalah terhadap cara demikian dengan kembali mengamalkan
ibadah solat seperti waktu-waktu lain, menyempurnakan kiam, bacaan
al-Fatihah, rukuk, sujud, khusyuk, hadir hati dan semua peradaban solat
dan rukunnya.
Bagi makmum pula disyorkan supaya sentiasa bersama
imamnya sepanjang solat terawih itu sehinggalah selesai sama ada 20
rakaat ataupun lapan rakaat. Sabda Rasulullah s.a.w., Apabila seseorang
menunaikan solat bersama imamnya sehinggalah imam itu (selesai dan)
beredar, dikirakan untuknya (makmum) pahala kiam semalaman. (Riwayat
an-Nasaei)
Sumber: akhbarweb
No comments:
Post a Comment
posto.. posto.. posto...